Monday, October 25, 2010

Tauhid Ruh Akidah

  1. Maksud Ayat  AYAT 138-141 SURAH AL-BAQARAH
    Ayat 138: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".

    Ayat 139: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap Kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya? Padahal Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya;

    Ayat 140: "Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telahpun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?" dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

    Ayat 141: Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.

  1. Asbab al-Nuzul
    Berkata Ibnu ’Abbas: Golongan Nasara (Kristian) apabila mendapat cahaya mata baru, maka mereka akan menunggu selama tujuh hari. Setelah itu, mereka akan ‘mencelup’ bayi tersebut dengan air yang khusus dipanggil sebagai ‘al-ma’mudi’, bertujuan untuk ‘membersihkan’ bayi tersebut. Apabila mereka melakukan sedemikian, maka mereka menganggap bahawa bayi tersebut akan benar-benar menjadi seorang Kristian yang tulen. Lalu, Allah menurunkan ayat 138 daripada surah al-Baqarah.

  1. Huraian Ayat
    Allah s.w.t telah menjelaskan betapa keimanan kepada Allah merupakan perkara yang amat penting dan berharga dalam diri seseorang. Apakah terdapat ‘acuan’ atau ‘celupan’ yang lebih baik daripada apa yang disediakan oleh Allah? Sudah tentu jawapannya, tidak! Allah yang menentukan bagi hambaNya agar mengambil ‘celupan’ Islam dan Iman yang dapat menyucikan diri daripada sebarang perkara syirik kepada Allah. Justeru, adalah dilarang sama sekali mengikuti golongan pendeta Nasrani dan mereka yang syirik kepada Allah.

    Allah s.w.t telah mengurniakan nikmat yang cukup banyak, dan nikmat yang paling berharga serta paling bernilai ialah nikmat Islam dan nikmat hidayah, dengannya kita dapat menjadi hamba Allah dengan sebenar-benarnya, ikhlas beribadah kepadaNya yang Maha Esa. Oleh itu, jangan terpedaya dengan golongan yang merosakkan agama dengan menambah atau mengurang apa yang telah disediakan oleh syarak, menghalal apa yang diharamkan atau mengharamkan apa yang dihalalkan, apatah lagi meninggalkan arahan Allah, sebaliknya menggantikan dengan perbuatan syirik kepada Allah.

    Seterusnya, Allah menyuruh nabiNya menyatakan kepada ahli kitab apakah mereka mahu membuat bantahan terhadap agama Allah lalu mendakwa bahawa agama yang benar itu adalah Yahudi dan Nasrani? Apakah mereka mahu menyatakan bahawa agama mereka yang benar sedangkan mereka melakukan syirik kepada Allah? Sebenarnya, tanggungjawab sebagai manusia adalah sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah, kerana Dialah Yang Mencipta manusia, dan Allah akan menghitung setiap amalan manusia untuk diberikan pembalasan di Hari Akhirat kelak.

    Dakwaan golongan tersebut yang menyatakan bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, adalah merupakan dakwaan yang batil. Sebenarnya, golongan pendeta ahli kitab amat mengetahui tentang kebenaran Islam, namun mereka sengaja menyembunyikan fakta dan kebenaran demi menjaga kepentingan duniawi mereka. Justeru, mereka merupakan golongan yang zalim.

    Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap apa jua yang dilakukan oleh manusia sama ada mereka menerima keimanan kepada Allah atau menjadi golongan yang syirik dan sesat. Setiap manusia akan menerima balasan terhadap apa yang mereka lakukan di atas dunia ini. Dalam ayat di atas, dinyatakan beberapa kali bahawa Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang mereka lakukan. Hal ini sekali gus merupakan amaran dan ancaman kepada orang yang ingkar bahawa mereka akan diadili seadil-adilnya di akhirat kelak.

  1. Pengajaran Ayat
    1. Ajaran Islam adalah merupakan ajaran yang ‘fitrah’ bersih daripada sebarang perkara syirik dan perkara khurafat. Sesuatu yang paling bernilai dalam kehidupan manusia ialah apabila mengikuti ‘manhaj’ yang disediakan Allah dengan mentauhidkanNya, dan melaksanakan pengabdian kepada Allah dengan penuh keikhlasan.

    1. Firman Allah dalam surah al-Rum ayat 30:
Maksudnya: “…(turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

    1. Sesungguhnya roh kepada agama itu ialah ‘tauhid’ dan asasnya ialah Ikhlas. Inilah dakwah yang dibawa oleh para rasul keseluruhannya, dan Nabi s.a.w merupakan ‘pelengkap’ iaitu meneruskan agenda mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah dengan penuh keikhlasan.

    1. Segala hujah yang dikemukakan oleh golongan Yahudi dan Nasara adalah batil dan sesat dan ia merupakan penipuan dan pembohongan yang nyata . Hasilnya mereka telah mensyirikkan Allah, walau pun mereka ahli kitab yang telah menerima wahyu, namun mereka memilih kesesatan dengan menolak wahyu Allah.

    1. Setiap manusia akan menghadapi Hari Pembalasan. Pada waktu itu, setiap amalan manusia akan dihitung oleh Allah dan akan diberi pembalasan. Justeru, para ulama telah menyatakan bahawa syarat amalan diterima oleh Allah ialah:
      • Benar
      • Bertepatan dengan syarak
      • Ikhlas
      • Sekiranya salah satu daripada perkara di atas tidak wujud pada seseorang, maka segala amalannya tidak diterima; sebaliknya ditolak oleh Allah walaupun ia berupa kebaikan dan kebajikan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment